أَلسَّلامُ عَلَيْكُم ورَحْمَةُ اللهِ وبَرَكَاتُه ..
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ ..
أَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى رَسُولِ
اللهِ وَ عَلَى أَلِهِ وَ أَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ ..
Ya Allah lapangkanlah dadaku,
permudahkanlah kerja kerja ku, dan bukakanlah simpulan pada lidahku supaya
mereka yang mendengar faham jelas akan kata kataku..
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللهَ فَأتَّبِعُونِى
يُحْبِبْكُمُ اللهُ وَيَغْفِرْلَكُمْ ذُنُوْبَكُمْ وَاللهُ غَفُوْرٌ رَحِيْمٌ
(أل
عمران :31)
Katakanlah (Wahai Muhammad):
"Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah
mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Ali-Imran: Ayat
31).
Pakaian Solat
صَلُّوا كَماَ رَأَيْتُمُوانِي أُصَلِّي
Dirikanlah Solat Sebagaimana
Kamu Melihat Aku Bersolat
Hadis diatas merupakan dalil yang
mewajibkan kita mencontohi, mengikuti dan melakukan solat sama seperti yang dilakukan
oleh Rasulullah s.a.w. Hadis ini dicerna daripada hadis yang diriwayatkan oleh
Imam Bukhary dari Malik bin Huwairits seperti di paparkan dibawah.
حدَّثنا
محمَّد بن المُثَنَّى قال حدَّثنا عبد الوهَّاب قال حدَّثنا أَيُّوب عن أبى
قِلابَة قال: حدَّثنا مالِك :( أَتَيْنَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ
وَسَلَّم وَنَحْنُ شَبَبَةٌ مُتَقَارِبُونَ فأَقِمْنَا عِنْدَهُ عِشْرِيْنَ
يَوْمًا وَلَيْلَةً، وَكَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّم
رَحِيْماً رَفِيْقاً، فَلَمّاَ ظَنَّ أَنَّا قَد اشتهينا أَهلَنَا- أَو قَد
اشتَقْنا- سَأَلَناَ عمَّن ترَكنا بَعْدَناَ، فأَخبرناهُ. قال: إِرجِعُوا إِلَى
أَهلِيكُم، فأَقِيمُوا فِيهِم وَعَلِّمُوهم، وَمُروهم- وذكرَ أَشيَاءَ أَحفَظُها-
أَولا أحفظُها- وَصَلُّوا كَماَ رَأَيْتُمُوانِي أُصَلِّي، فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاةُ فَلْيُؤَذِّنْ لكم أَحَدُكُم
وَلْيُؤمَّكم أَكبرُكم).
Telah berkata Muhammad bin Al
Muthanna katanya telah berkata Abdul Wahhab katanya telah berkata Ayyub dari
Abi Qilabah katanya: Telah berkata (Abu Sulaiman iaitu) Malik (bin al-Huwairits
r.a)., katanya: "Kami semua mendatangi Nabi s.a.w. dan kami semua adalah
para pemuda yang hampir sebaya (hampir berdekatan umur kami). Dan kami semua
bermukim di sisi Baginda s.a.w. selama dua puluh hari dan malam untuk
mempelajari ilmu agama. Adapun Rasulullah s.a.w. itu sifatnya seorang yang
sangat berkasih sayang serta sangat berlemah-lembut. Baginda s.a.w mengira
bahawa kami semua telah merindui keluarga kami, lalu bertanya kepada kami
tentang siapa dari keluarga kami itu yang telah kami tinggalkan. Kami pun
menceritakan kepada Baginda s.a.w tentang hal itu. Kemudian Baginda s.a.w.
bersabda: "Sekarang kembalilah kamu kepada keluarga kamu masing-masing,
menetaplah di dalam lingkungan mereka, berilah mereka pelajaran, perintahlah
mereka - melakukan ketaatan- Dan
Dirikanlah Solat Sebagaimana Kamu Melihat Aku Bersolat. Jika waktu
solat sudah tiba, maka hendaklah seorang di antara kamu melaungkan azan dan
hendaklah yang menjadi imam kamu itu orang yang tertua dari kalangan kamu
semua." (Muttafaq 'alaih)
Ucapannya: Rahiman rafiqan, رَحِيماً رَفِيقاً diriwayatkan
dengan fa' dan qaf -sebagaimana di atas,
juga diriwayatkan dengan dua qaf
- lalu berbunyi raqiqan رَقِيقاً ertinya
halus perasaannya.
(Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari : Jami’
Sahih Bukhari : Kitab Azan : Bab 18 : Hadis 631)
(Imam An-Nawawi : Riyadhus
Salihin : Hadis 710)
Saya langsung tidak berhasrat untuk
menghuraikan tentang persoalan fiqh solat dalam tulisan ini, kita boleh merujuk
persoalan fiqh solat kepada tuan tuan guru dengan bersumberkan kitab kitab yang
telah ditulis oleh para ulama muktabar Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ingin
saya sarankan disini carilah Kitab Sifat Solat Nabi Yang Sahih ditulis oleh
Al-Allamah Dr Hassan Ali Al-Saqqaf Al-Qurasyi Al-Hasyimi yang telah
diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Al-Fadhil Ustaz Zamihan Mat Zin Al-Ghari.
Tuan guru saya yang dimuliakan Syeikhuna Mukarram Habib Umar
bin Ismail bin Ahmad bin Yahya (wafat tahun 1973) telah
menterjemahkan صَلُّوا كَماَ رَأَيْتُمُوانِي أُصَلِّي sebagai
melihat bukan saja kepada
perlakuan dan perkataan Baginda Nabi s.a.w di dalam solat tetapi juga pada
pemakaian Baginda Nabi s.a.w itu sendiri. Ini sesuai dengan maksud
perkataan رَأَيْتُمُوانِي ‘kamu
semua melihatku’, Syeikhuna Mukarram Habib Umar menegaskan maksud ‘melihatku’ itu haruslah juga melihat kepada apa
yang dipakai oleh Baginda Nabi s.a.w sewaktu mendirikan sholat. Ini ditegaskan
dengan sokongan dari banyak hadits-hadits yang memperincikan pakaian Nabi s.a.w
(akan saya paparkan dibawah nanti) dan sikap sahabat yang bersungguh sungguh
dalam mengikuti dan mencontohi setiap tatacara berpakaian Nabi s.a.w, antaranya
seperti Abi Hurairah r.a yang terkenal sebagai sahabat yang paling hampir dalam
mengikuti Baginda Nabi s.a.w, beliau mengikut segala galanya yang berkaitan
dengan Baginda Nabi s.a.w. baik dari cara berpakaian, bersolat, bermuamalah
hinggalah kepada hal-hal yang lebih bersifat peribadi seperti cara baginda
makan, berjalan bahkan batuk juga diikutinya, ini semua adalah hasil dari pada
perasaan cinta yang sangat mendalam para sahabat terhadap Baginda Nabi s.a.w.
Bagaimanakah pula sikap kita dalam menunjukkan rasa cinta terhadap Baginda Nabi
s.a.w?.
Baiklah, sekiranya kita hendak
menjadi seorang peguam, setelah sempurna pembelajaran kita di universiti bolehkah
kita masuk ke mahkamah sebagai peguam dengan memakai t shirt dan jeans?
Senario kedua, sekiranya kita
dianugerahkan darjah kebesaran oleh Raja, bolehkah kita masuk ke istana untuk
menerima darjah kebesaran tersebut dengan memakai pakaian yang biasa kita pakai
pergi ke kebun? Jika kita berbuat demikian, sudah tentu kita akan dianggap
bersikap biadap dan boleh mendatangkan kemurkaan Raja dan kita boleh dihukum
kesan dari perbuatan kita yang tidak memakai pakaian yang sepatutnya untuk
mengadap Raja.
Demikianlah fitrahnya, kita ada
pakaian tertentu untuk dipakai pada tempat dan kepada orang tertentu. Kita ada
pakaian khas untuk pergi bekerja, pekerja pejabat dengan berkemeja dan bertali
leher, orang korporat dengan kotnya, anggota keselamatan dengan unifomnya,
pekerja industri juga ada unifomnya, petani juga ada pakaiannya.
Oleh itu tidaklah menjadi
kesalahan sekiranya kita menjadikan pakaian Baginda Nabi s.a.w sebagai pakaian
solat kita sebagaimana tidak menjadi kesalahan bagi kita bersolat dengan pakaian
biasa yang sekadar cukup menutup aurat itu. Bahkan dengan memakai pakaian
Baginda Nabi s.a.w di dalam menunaikan solat dapat menjadi nilai tambah kepada
ibadah solat yang kita lakukan:
- Mendapat pahala sunat pada pakaian.
- Mendapat khusyuk dalam solat.
- Mendapat kemanisan solat.
- Dapat mewujudkan rasa kehambaan terhadap Allah s.w.t.
- Mendapat pahala mencintai Baginda Nabi s.a.w.
- Mendapat kemanisan cinta keatas Baginda Nabi s.a.w.
- Memperoleh doa para malaikat kerana mencintai dan mengikuti Baginda Nabi s.a.w.
- Mendapat fadhilat dan kelebihan.
Meskipun ada yang berkata pakaian
Baginda Nabi s.a.w itu tidak sesuai dengan budaya masyarakat melayu dan
peredaran zaman, itu sebenarnya hanyalah alasan penolakan dari mereka yang
tidak mencintai Nabinya.
Melayu sangatkah kita jika baju
melayu pun hanya dipakai pada hari jumaat sahaja, dan lebih malang lagi ada yang hanya dipakai di pagi
hari raya sahaja. Melayu sangatkah kita dengan berkemeja, berkot dan bertali
leher?. Melayu sangatkah kita dengan berseluar jeans?.
Dizaman ini sukar dicari orang yang
hanya memiliki sehelai pakaian sahaja. Kebanyakan dari kita memiliki se almari
pakaian bahkan ramai yang memiliki stor khas bagi menyimpan pakaian mereka.
Masih relevankah alasan kemampuan ditimbulkan?.
Berbalik kepada tajuk diatas PAKAIAN SOLAT, bukan
pakaian untuk ke pejabat, ke sekolah, ke pasar, ke padang permainan atau kemana-mana yang
lainnya. Ertinya pakailah semasa mendirikan solat, selesai solat salinlah
kepada pakaian yang biasa kita pakai.
Mari kita lihat apakah
pakaian Nabi s.a.w itu.
Pakaian Nabi s.a.w
- Dua helai pakaian iaitu sehelai Baju Gamis dan sehelai Jubah Luar.
- Serban.
- Selendang (Rida’).
- Nabi s.a.w menyuruh umatnya berpakaian warna putih.
Hadits 1
حدَّثنا
مُحمَّدُ بنُ حُمَيْدِ ألرَّازِيُّ، ثَنَا ألفَضْلُ بنُ مُوسَى، وأَبُو تُمَيْلَة،
وزَيْدُ بنُ حُبَابٍ، عَن عَبْدِ الْمُؤمِنِ بنِ خاَلِدٍ، عَن عَبْدِ الله بنِ
بُرَيْدَةَ، عَن أُمِّ سَلَمَةَ، قَلَتْ: كَانَ أَحَبَّ الثِّيَابِ إِلَى
رَسُولِ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقَمِيْصُ .
Telah berkata Muhamad bin Humaid
Ar-Razi katanya, daripada Al-Fadhal bin Musa dan Abu Tumailah dan Zaid bin
Hubab daripada Abdul Mu’min bin Khalid, daripada Abdullah bin Buraidah,
daripada Ummu Salamah berkata: Pakaian
yang paling disukai oleh Rasulullah s.a.w adalah Gamis.
(Diriwayatkan oleh At-Tirmizi :
Syamail Muhammadiah: Bab 8 Pakaian
Nabi s.a.w : Hadis 55)
(Diriwayatkan oleh Abu Daud :
Sunan Abu Daud : Kitab Pakaian : Hadis 4025)
(Diriwayatkan oleh Al-Mushannif
: Jami’ Al-Mushannif : Kitab Pakaian : Hadis 1762)
(Diriwayatkan oleh An-Nasa’I :
Al-Kubra : Kitab Perhiasan : Hadis 18169)
(Diriwayatkan oleh Ibnu Majah:
Sunan Ibnu Majah: Kitab Pakaian : Hadis 3575)
(Diriwayatkan juga oleh Ahmad :
Hadis 317/6)
(Diriwayatkan juga oleh Abad
bin Humaid : Muntakhab : Hadis 1540)
(Diriwayatkan juga oleh Abu
Ya’la : Hadis 7014)
(Diriwayatkan juga oleh Abu
Syeikh : Hadis 100)
(Diriwayatkan juga oleh
At-Thabrani : Al-Kabir : Hadis 1018)
(Diriwayatkan juga oleh
Al-Hakim : Mustadrak: Hadis 192/4)
(Diriwayatkan juga oleh
Al-Baihaqi : Sunan Al-Baihaqi : Hadis 239/2)
Hadits 2
حدَّثنا
مُحمَّدُ بنُ بَشاَرٍ، حدَّثَناَ عَبْدُالرَّحْمَنِ بنُ الْمُهْدِيٍّ، أَنْبأَ
عُبَيدُاللهِ بنُ إِيَّادٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي رِمْثَةَ قَالَ: رَأَيْتُ
النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهِ بُرْدَانِ أَخْضَرَانِ.
Telah berkata Muhammad bin Basyar
katanya, telah berkata Abdurrahman bin Muhdi, dikhabarkan oleh Ubaidillah bin
Iyyad daripada bapanya, daripada Abi Rimtsah berkata: Aku melihat Nabi s.a.w
memakai dua helai pakaian daripada kain burdan berwarna hijau.
(Diriwayatkan oleh At-Tirmizi:
Syamail Muhammadiah: Bab 8 Pakaian Nabi s.a.w : Hadis 66)
(Diriwayatkan oleh Abu Daud:
Sunan Abu Daud: Kitab Pakaian : Hadis 4065)
(Diriwayatkan oleh
Al-Mushannif: Jami’ Al-Mushannif: Kitab Adab : Hadis 2812)
(Diriwayatkan oleh An-Nasa’i:
Sunan An-Nasa’i: Kitab Solat Dua Hariraya: Hadis 1572)
Hadits 3
حدَّثنا
عَبْدُ بنُ حُمَيْدٍ، حدَّثنا عَفَّانُ بنُ مُسْلِمٍ، قَالَ، حدَّثنا عَبدُاللهِ
بنِ حَسَّانٍ الْعَنْبَرِيُّ، عَنْ جَدَّتَيْهِ دُحَيْبَةَ وَ عُلَيْبَةَ، عَنْ
قَيْلَةَ بِنْتِ مَخْرَمَةَ قَالَتْ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهِ أَسْمَالُ مُلَيَّتَيْنِ كَانَتَا بِزَعْفَرَانِ
وَقَدْ نَفَضْتُهُ.وَفِي الْحَدِيْثِ قِصَّةٌ طَوِيْلَةٌ.
Telah berkata Abad bin Humaid
katanya, telah berkata Affan bin Muslim, katanya, telah berkata Abdullah bin
Hassan Al-Anbari, daripada kedua dua orang neneknya Duhaibah dan Ulaibah,
daripada Qailah binti Makhramah berkata: Aku
melihat Nabi s.a.w memakai dua helai pakaian daripada kain tenun yang sudah
usang. Kedua dua helai pakaian itu dicelup dengan za’faran (kunyit). Warna
pakaian itu mulai luntur.
(Diriwayatkan oleh At-Tirmizi:
Syamail Muhammadiah: Bab 8 Pakaian Nabi s.a.w : Hadis 67)
(Diriwayatkan oleh Abu Daud:
Sunan Abu Daud: Hadis 3070)
(Diriwayatkan oleh
Al-Mushannif: Jami’ Al-Mushannif: Kitab Adab : Hadis 2814)
(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari:
Adab Al-Mufrad : Hadis 1178)
(Diriwayatkan oleh At-Thabrani:
Al-Kabir : Hadis 3469)
(Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi:
Al-Adab : Hadis 337)
Hadits 4
حدَّثنا
هاَرُونُ بنُ إِسْحاَقَ الْهَمْداَنِيُّ، ثَناَ يَحْيَى بنُ مُحَمَّدٍ
الْمَدَنِيُّ، عَنْ عَبْدِ الْعَزِيْزِ بنِ مُحَمَّدٍ، عَنْ عُبَيْدِاللهِ بنِ
عُمَرَ، عَنْ ناَفِعٍ، عَنِ بنِ عُمَرَ ٌقَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أعْتَمَّ سَدَلَ عِمَامَتَهُ بَيْنَ كَتِفَيْهِ.
قَالَ
نَافِعٌ: وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَفْعَلُ ذَلِكَ. قَالَ عُبَيْدُ اللهِ: وَرَأَيْتُ
القَاسِمَ بنِ مُحَمَّدٍ وَسَالِماً يَفْعَلاَنِ ذَلِكَ.
Telah berkata Harun bin Ishaq
Al-Hamdani, daripada Yahya bin Muhammad Al-Madani, daripada Abdul Aziz bin
Muhammad, daripada Ubaidillah bin Umar, daripada Nafi’, daripada Ibnu Umar
berkata: Apabila
Nabi s.a.w memakai serban, Baginda menjulurkan hujung serban itu di antara dua
bahu beliau.
Nafi’ berkata: Ibnu Umar
juga melakukan begitu.
Ubaidullah juga berkata:
Aku melihat Qasim bin Muhammad dan Salim juga melakukan hal yang sama.
(Diriwayatkan oleh At-Tarmizi :
Syamail Muhammadiah : Bab 17 Serban Nabi s.a.w : Hadis 118)
(Diriwayatkan oleh Al-Mushannif
: Jami’ Al-Mushannif : Kitab Pakaian : Hadis 1736)
(Diriwayatkan juga oleh
Al-Uqaili : Ad-Dhua’fa’ : Juz 3 Helaian 21)
(Diriwayatkan juga oleh Abu
Syeikh : Helaian 117)
Hadits 5
حدًّثنا
عَبْدُ بنُ حُمَيْدٍ، ثَناَ مُحَمًّدُ بنُ الْفَضْلِ، حدًّثنا حَمَّادُ بنُ
سَلَمَةَ، عَنْ حَبِيْبِ بنِ الشَّهِيدِ، عَنِ الحَسَنِ، عَنْ أَنَسِ بنِ مَالِكٍ: أَنَّ
النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ وَهُوَ مُتَّكِئٌ عَلَى
أُساَمَةَ بنِ زَيْدٍ، عَلَيْهِ ثَوْبٌ قِطْرِيُّ قَدْ تَوَشَّحَ بِهِ، فَصَلَّى
بِهِمْ.
Telah berkata Abad bin Humaid,
daripada Muhammad bin Al-Fadhal, Telah berkata Hammad bin Salamah, daripada
Habib bin Asy-Syahid, daripada Hasan daripada Anas bin Malik r.a: Sesungguhnya Nabi s.a.w keluar
dari rumahnya dalam keadaan bersandar kepada Usamah bin Zaid, Beliau memakai
kain Qithri yang diselempangkan di bahunya. Kemudian beliau solat berjemaah
bersama para sahabat.
(Diriwayatkan oleh At-Tirmizi :
Syamail Muhammadiah : Bab 8 Pakaian Nabi s.a.w : Hadis 60)
Hadits 6
حدَّثنا
سُوَيْدُ بنُ نَصْرٍ، حدَّثنا عَبْدُاللهِ بنِ الْمُبَارَكِ، عَنْ سَعِيْدِ بنِ
إِياَسِ الْجُرَيْرِيِّ، عَنْ أَبِي نَضْرَةَ، عَنْ أَبِي سَعِيْدٍ الْخُدْرِيِّ
قَالَ: كَانَ رَسُوْلُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا
أسْتَجَدَّ ثَوْباً سَمَّاهُ بِأسْمِهِ – عِماَمَةً أَوْ قَمِيْصاً أَوْ رِدَاءً –
ثُمَّ يَقُوْلُ: أَللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ كَماَ كَسَوْتَنِيْهِ، أَسْأَلُكَ
خَيْرَهُ وَ خَيْرَ ماَ صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوْذُبِكَ مِنْ شَرِّهِ وَ شَرِّ ماَ
صُنِعَ لَهُ.
Telah berkata Suwaid bin Nashr, telah
berkata Abdullah bin Al-Mubarak, daripada Said bin Iyas Al-Jurairi, daripada
Abi Nadhrah, daripada Abi Said Al-Khudri berkata: Apabila Rasulullah
s.a.w memakai pakaian baru, beliau menyebut namanya, seperti serban, gamis atau
selendang. Kemudian, beliau berdoa, Ya Allah, seluruh pujian hanya untuk-Mu,
sebagaimana Engkau memberikan aku pakaian ini, aku mohon kepada-Mu kebaikan
pakaian ini, juga kebaikan sesuatu yang diciptakan untuknya, aku berlindung
kepada-Mu daripada keburukan pakaian ini, juga keburukan sesuatu yang
diciptakan untuknya.
(Diriwayatkan oleh At-Tirmizi :
Syamail Muhammadiah : Bab 8 Pakaian Nabi s.a.w : Hadis 61)
(Diriwayatkan oleh Abu Daud :
Sunan Abu Daud : Kitab Pakaian : Hadis 4020)
(Diriwayatkan oleh Al-Mushannif
: Jami’ Al-Mushannif : Kitab Pakaian : Hadis 1767)
(Diriwayatkan oleh An-Nasai’ :
Al-Kubra : Hadis 309)
(Diriwayatkan oleh Ahmad :
Musnad Ahmad : Hadis 30/3)
(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi
Syaibah : Musnaf : Hadis 403/10)
(Diriwayatkan oleh Abad bin
Humaid : Muntakhab : Hadis 882)
(Diriwayatkan oleh Ibnu Saad :
Thabaqat Ibnu Saad : Hadis 154/2/1)
(Diriwayatkan oleh Abu Ya’la :
Musnad Abu Ya’la : Hadis 1079)
(Diriwayatkan oleh At-Thabrani
: Ad-Du’a : Hadis 398)
(Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban
: Sahih Ibnu Hibban : Hadis 5396)
(Diriwayatkan oleh Al-Hakim :
Mustadrak : Hadis 192/4)
Hadits 7
حدَّثنا
قُتَيْبَةُ بنُ سَعِيْدٍ، ثَناَ بِشْرُ بنُ الْمُفَضَّلِ، عَنْ عَبْدِاللهِ بنِ
عُثْماَنَ بنِ خُثَيْمٍ، عَنْ سَعِيْدِ بنِ جُبَيْرٍ، عَنِ بنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ
اللهُ عَنْهُماَ قَالَ:
قَالَ رَسُوْلُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
عَلَيْكُمْ بِالْبَيَاضِ مِنَ الثِّيَابِ لِيَلْبَسْهَا أَحْيَاَؤُكُمْ،
وَكَفِّنُوا فِيْهَا مَوْتَاكُمْ، فَإِنَّهَا مِنْ خِيَارِ ثِيَابِكُمْ.
Telah berkata Qutaibah bin Said,
daripada Bisyr bin Al-Mufaddhal, daripada Abdullah bin Usman bin Khutsaim,
daripada Said bin Jubair, daripada Ibnu Abbas Radhiyallahu anhuma berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w:
Hendaklah kalian berpakaian putih, Kalian yang masih hidup hendaklah memakai
pakaian berwarna putih. Pakaikan kain kafan berwarna putih juga bagi mereka
yang meninggal dunia. Sebab, pakaian berwarna putih adalah sebaik baik pakaian
untuk kalian.
(Diriwayatkan oleh At-Tirmizi :
Syamail Muhammadiah : Bab 8 Pakaian Nabi s.a.w : Hadis 68)
(Diriwayatkan oleh Abu Daud :
Sunan Abu Daud : Kitab Pakaian : Hadis 4061)
(Diriwayatkan oleh Al-Mushannif
: Jami’ Al-Mushannif : Kitab Jenazah : Hadis 994)
(Diriwayatkan oleh Ibnu Majah :
Sunan Ibnu Majah : Kitab Jenazah : Hadis 1472)
Pakailah pakaian Nabi s.a.w ini
sebagai tanda cintanya kita kepada baginda, juga sebagai bukti ketaatan kita
kepada perintah Allah s.w.t yang memerintahkan kita mengikuti Nabi s.a.w jika
benar kita cintakan Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya:
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللهَ فَأتَّبِعُونِى
يُحْبِبْكُمُ اللهُ وَيَغْفِرْلَكُمْ ذُنُوْبَكُمْ وَاللهُ غَفُوْرٌ رَحِيْمٌ
(أل
عمران : 31)
Katakanlah (Wahai Muhammad):
"Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah
mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Ali-Imran: Ayat
31).
Jika kita tidak mampu memakai
pakaian Nabi s.a.w. ini sebagai pakaian harian, pakailah ia sewaktu mendirikan
solat, kerana itulah saat yang paling afdhal bagi kita untuk memakainya.
Wallahua’lam..
Disusun oleh;
Noor Azam Al-Husainy.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar